Daripada Salman al Farisi
ra berkata: Pada hari terakhir bulan Sya`ban Rasulullah s.a.w telah berkhutbah
kepada kami dengan sabdanya yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya
kamu telah dinaungi oleh bulan yang agung dan bulan yang penuh berkat. Bulan yang padanya ada satu malam yang lebih baik
daripada seribu bulan. Allah telah menjadikan puasa padanya
(Ramadhan) satu kefardhuan dan melakukan qiam di malamnya sebagai amalan
sunat. Sesiapa yang melakukan satu amalan kebaikan padanya, maka baginya
ganjaran seumpama melakukan satu amalan fardu. Dan sesiapa yang melakukan satu
amalan fardu, maka baginya ganjaran seumpama melakukan tujuh puluh
amalan fardu. Ramadhan adalah bulan kesabaran dan sabar ganjarannya
adalah syurga. Ramadhan juga adalah bulan saling tolong-menolong dan bulan di
mana akan ditambah rezki orang-orang Mukmin. Sesiapa yang memberi makan
kepada orang yang berpuasa (sewaktu berbuka), maka baginya keampunan terhadap
dosa-dosanya, diselamatkan batang tengkuknya dari api neraka dan baginya
ganjaran pahala yang sama seperti orang yang berpuasa itu tanpa berkurang walau
sedikit pun.” Kami bertanya: Wahai Rasulullah, tidak semua di kalangan kami
yang memiliki sesuatu untuk diberikan kepada orang yang berpuasa? Lalu baginda
s.a.w menjawab: “Allah akan menganugerahi ganjaran pahala tersebut kepada
sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa (walau) dengan seteguk
susu, tamar ataupun air. Sesiapa memberi makan sehingga kenyang kepada orang
yang berpuasa, maka Allah akan memberinya minum dengan air telagaku di mana
orang yang meminumnya tidak akan merasa dahaga sehinggalah dia masuk ke dalam
syurga. Ramadhan adalah bulan di mana awalnya adalah rahmah,
pertengahannya adalah keampunan dan akhirnya adalah pembebasan
daripada api neraka. Sesiapa memberi keringanan kepada hamba-sahayanya di bulan
ini, maka Allah akan mengampunkan dosanya dan akan menyelamatkannya dari api
neraka. Justeru hendaklah kamu banyak melakukan empat perkara berikut: Dua
daripadanya akan membuatkan Allah redha terhadap mereka yang melakukannya
sementara dua perkara lagi adalah suatu yang sangat perlu bagi kamu. Dua
perkara yang menjadikan Allah redha terhadap pelakunya ialah mengucap dua kalimah
syahadah dan memohon keampunan kepadaNya. Sementara dua perkara yang
sangat diperlukan itu ialah memohon kepada Allah syurga dan berlindung
kepadaNya daripada api neraka.”
Biarlah hadis yang agung ini
menjadi agenda kita dalam menjalani ibadah puasa di bulan yang penuh berkat
ini. Dan jadikanlah segala wasiat Rasulullah s.a.w itu sebagai pedoman untuk
kita.
1.
Segera berbuka apabila benar-benar diyakini bahawa matahari telahpun
terbenam dan sebelum menunaikan sembahyang Maghrib.
2.
Membaca doa yang ma`thur ketika berbuka:
اللهُمَّ
لَكَ صُمتُ وعَلىَ
ِرزْقِكَ أَفْطَرْتُ
وَعَلَيْكَ تَوَكَّلْتُ,
وَبِكَ آمَنْتُ
ذَهَبَ الظَّمْأُ
وَابْتَلَتِ
الْعُرُوْقُ
وَثَبَتَ اْلأَجْرُ,
يَا وَاسِعَ
الْفَضْلِ اِغْفِرْ
لِي,
الْحَمْدُ ِللهِ
الَّذي أَعَانَنِي
فَصُمْتُ وَرَزَقَنِي
فَأَفْطَرْتُ
.
Maksudnya: “Ya Allah untukMu aku berpuasa, di atas rezkiMu aku berbuka, kepadaMu
aku bertawakal dan denganMu aku beriman.
Telah berlalu
pergi dahaga dan basah sudah urat-urat dan telah nyatalah ganjaran pahala.
Wahai Yang Maha Luas anugerahnya, ampunilah kesalahanku. Segala pujian bagi
Tuhan yang telah membantuku sehingga aku dapat berpuasa dan yang telah memberi
kepadaku rezki sehingga aku dapat berbuka”.
3. Bersahur walaupun
sedikit atau dengan seteguk air. Rasulullah s.a.w telah bersabda:
" تَسَحَّرُوا
فَإنَّ فِي
السّحوِر بَرَكَةً
"
Maksudnya: “Bersahurlah kamu sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan.”
Melewatkan sahur - selagi tidak
membawa sehingga terbitnya fajar - adalah lebih baik sebagaimana sabda
Rasulullah s.a.w: yang bermaksud: “Tinggalkan
segala perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu.”
4. Menahan lidah daripada
kata-kata yang tidak bermanfaat. Adapun menahan lidah daripada perkara yang
haram seperti mengumpat, mengadu domba dan yang seumpamanya adalah wajib dalam
setiap masa dan ketika terutamanya di bulan Ramadhan.
5. Memperbanyakkan sedekah dan
berbuat kebaikan kepada sanak saudara serta fakir miskin.
6. Membaca al Quran, berzikir dan
berselawat kepada junjungan besar Nabi Muhamad s.a.w setiap kali berpeluang
tidak kira malam atau siang.
7. I`tikaf di masjid dan
menyibukkan diri dengan menuntut ilmu.
aaa/210906