KETUA SEKTOR PENGURUSAN PENDIDIKAN ISLAM & MORAL
JABATAN PELAJARAN SELANGOR
PRODUK YANG BAIK PERLU KEPADA JURU JUAL YANG BAIK
Bersempena Maulid al-Rasul, marilah kita menelusuri sirah Rasulullah s.a.w. Kita tela'ah apa yang tersurat dan tersirat daripada kehidupan baginda, kerana baginda utusan maksum yang dibimbing oleh Allah. Baginda adalah utusan terakhir buat umat akhir zaman. Sesungguhnya teramat banyak perkara untuk disingkap.
Bagaimana kita mempelajari Islam yang dibawa oleh baginda telah diterima oleh masyarakat Arab Jahiliah yang ganas dan tidak berperi kemanusiaan. Merekalah orang yang membunuh anak perempuan mereka sendiri, mereka amat berbangga kerana dapat melaksanakan pengkebumian anak perempuan mereka hidup-hidup. Tiba-tiba masyarakat yang hampir bersifat kebinatangan dan dalam sesetengah keadaan lebih ganas daripada binatang, boleh menerima satu fahaman yang terlalu berbeza dengan fahaman dan amalan mereka dahulu.
Perperangan sesama mereka telah bertukar kepada persaudaraan, penipuan dalam perniagaan telah mengubah mereka menjadi peniaga yang amanah, bahkan amanah mereka dibawa dalam seluruh kehidupan mereka. Kita ingin menyingkap bagaimana Islam yang cantik itu memenuhi ruang dada orang Arab, lalu mengalir dalam kehidupan mereka.
Mengapa Islam yang sama pada zaman ini, dilihat tidak diterima oleh orang lain bahkan orang Islam sendiri kadang-kadang menolaknya. Apakah Islam dahulu berbeza dengan Islam hari ini. Adakah Islam mempunyai versi yang berbeza?; versi zaman Rasulullah dan versi akhir zaman. Ataupun, kita yang tidak pandai untuk mempamerkan Islam yang sebenar. Mengapa keadaan ini terjadi?.
Saya fikir, masalahnya adalah kerana pendakwahnya. Bagi saya pendakwah adalah jurujual. Sesuatu barangan itu amat bergantung dengan jurujualnya. Biarpun barang itu buruk dan tidak berkualiti, tetapi dengan kebijaksanaan penjualnya, barangan itu akan dibeli dan menjadi pujaan. Jika analogi itu boleh diterima, Islam tidak menghadapi masalah kerana Islam itu sendiri teramat baik dan tiada tandingannya. Cuma penolakan terhadap Islam berlaku mungkin kerana juru jualnya tidak hebat.
Oleh itu, kita perlu berfikir bagaimana untuk menjadi jurujual yang hebat kerana kita memiliki barang yang hebat. Bagi GPI, jadilah jurujual yang hebat kerana anak didik kita sentiasa menadah telinga mendengar azimat yang kita luahkan. Mereka sentiasa setia kepada kita. Ayuh kita bangun daripada semangat Maulid ini untuk menjadi juru jual dakwah yang hebat. Renunglah firman Allah:
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.
Fusshilat: 33
HJ. SAIBUDIN BIN AHMAD
Ketua Sektor Pengurusan Pendidikan Islam dan Moral