|
PENGENALAN SURAH YASIN بسم الله الرحمن الرحيم Ertinya: “ Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang” ي س , inilah bacaan yang masyhurnya. Dengan memendekkan Yaa dan memanjangkan Sin dengan enam harakat seperti yang disebut di dalam ilmu tajwid. Tetapi diriwayatkan di kalangan ahli Madinah , ulama-ulama' Madinah dan ulama-ulama yang mengikutnya , mereka membaca dengan يس والقرآن الحكيم yakni dengan mewasalkan (menyambungkan ) Wau yang di baca selepas daripadanya. Terdapat banyak lagi riwayat dari segi ilmu qiraat sehingga Imam al-Qartubi menyatakan, lebih kurang lima bacaan yang dibaca oleh ulama' terhadap ayat ي س ini. Tetapi yang masyhurnya ialah dengan memendekkan Ya dan memanjangkan Sin dengan enam harakat Sin. ي س merupakan huruf-huruf permulaan surah ini. Begitu juga surah-surah yang dimulakan dengan huruf-huruf ن/ ص/ كهيعص dan seumpamanya yang merupakan peringatan kepada I'jaz al-Quran (mukjizat al-Quran) yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t yang terkandung di dalamnya bacaan yang dilafazkan dengan huruf-huruf hijaiyah yang dikenali dan diperkatakan oleh orang Arab dengannya, kerana ia diturunkan di dalam bahasa Arab. Al-Quran mempunyai susunan ayat yang menarik, berupa mukjizat yang tidak boleh ditandingi oleh mana-mana sasterawan mahupun ahli-ahli bahasa Arab. Mereka tidak mampu menandingi al-Quran sejak ia mula diturunkan sehinggalah ke hari Kiamat. Ini adalah bukti bahawa al-Quran ini sebenarnya adalah dari Allah s.w.t. Ada juga pendapat ulama' yang mengatakan bahawa tidak ada sesiapa pun yang mengetahui makna ي س . Ini melainkan Allah s.w.t sendiri. Ibnu Abbas r.a berkata bermaksud: Ya Insan ( يا إنسان ) , iaitu mengikut bahasa kabilah To'i ( طيء ) yang membawa makna “wahai manusia”. Mengikut satu riwayat yang lain, Yaa sin ialah salah satu daripada nama-nama Nabi kita, Muhammad s.a.w. Di antara nama Nabi ialah Muhammad, Ahmad, Toha, Mustofa dan Yaasin. Mengikut al-Qartubi di dalam tafsirnya seperti yang diriwayatkan oleh Malik, bahawa Yaasin ialah salah satu daripada nama Allah s.w.t. Walau apa tafsirnya sekali pun, hakikatnya , wallahu ‘alam bissawab. Hanya Allah s.w.t sahaja yang Maha Mengetahui mana yang betul diantara pendapat-pendapat itu. Walau bagaimanapun, ulama tafsir kuat mengatakan bahawa ia adalah di antara nama Nabi Muhammad s.a.w, berdasarkan kepada ayat selepas daripadanya iaitu: إنك لمن المرسلين Maksudnya: “Sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad adalah seorang rasul) dari kalangan orang-orang yang diutuskan menjadi rasul,” (Yaa sin:3) Di antara salah satu ayat di dalam surah Yaasin: يس والقرآن الحكيم Maksudnya: “Yaasin.” “Demi al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh.” ( Yaa sin:1& 2) Dari segi nama , surah ini dinamakan Yaasin kerana Allah s.w.t memulakan surah ini dengan perkataan Yaasin. Dari sudut kelebihannya, surah ini mempunyai kelebihan yang sangat banyak kepada orang yang membaca dan beramal dengannya.Di antaranya seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w: إن لكل شيء قلبا وقلب القرآن لوددت أنها في قلب أمتي Ertinya: “ Bahawa sesungguhnya bagi tiap-tiap sesuatu itu ada hati al-Quran itu surah Yaasin. Dan aku amat kasih bahawa surah Yaasin ini berada di dalam hati setiap orang dari kalangan umatku.” Di samping itu , terdapat banyak lagi kelebihan surah ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Qartubi dan Ibnu Kathir di dalam tafsir mereka dan juga para mufassirin lain pada zaman dahulu dan sekarang. Contohnya ,as-Syahid Sayyed Qutb dan as-Syeikh Sa'id Hawwa banyak menyebut di dalam tafsir mereka akan kelebihan surah Yaasin ini. Diantaranya, ada hadis yang menyurah kita (umat Islam) supaya membacakan surah Yaasin ini kepada orang yang hampir mati, kerana ia mempunyai kelebihan untuk memudahkan keluarnya roh. Surah Yaasin juga mempunyai kelebihan untuk mengubati orang-orang yang sakit dan menjadi perisai kepada orang-orang yang beriman di dalam menegakkan agama Allah s.w.t. Maka jelaslah kepada kita bahawa surah Yaasin ini satu surah yang baik di amalkan oleh kita semua. Allah s.w.t bersumpah dengan al-Quran untuk menyatakan betapa di dalamnya terkandung kebijaksanaan atau hikmah yang tidak terhingga, pengajaran yang banyak yang tidak boleh ditandingi oelh sebarang kebatilan, oleh sebarang kepalsuan. Inilah kekuatan al-Quran dari segi hikmah dan dari segi penyusunan ayat-ayatnya, sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam al-Qurtubi, bahawa al-Quran itu tidak ada kekurangan walaupun sedikit. Begitu juga seperti yang dikatakan oleh Abu As-Su'ud di dalam tafsirnya: “Terkandung di dalamnya (al-Quran) hikmah yang diucapkan di dalamnya kebijaksanaan dari segi susunannya yang menjadi mukjizat dan keindahan-keindahan hikmah hukum-hukam dan peraturan yang ada di dalamnya syariat, hukum-hakam, peraturan, pengajaran, amaran, perangsang, perkara-perkara menarik dan sebagainya yang pastinya tidak akan terdapat di dalam buku-buku yang dikarang oleh manusia.
|
|
|
Hak Cipta Terpelihara
Sektor Pengurusan Pendidikan Islam Dan Moral
Jabatan Pelajaran Selangor
Tingkat 2 Kompleks PKNS 40600 Shah Alam Selangor
Tel: 03 5518 9200 / 9202 / 9212 / 9214 Faks: 03 5510 5119
abuafif & team©